KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail mahu kerajaan membawa isu penghapusan etnik Rohingya ke peringkat Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurutnya, Malaysia sebagai pengasas Asean, harus ke depan memecahkan tradisi lapuk membawa isu penghapusan etnik Rohingya ke peringkat Asean kerana ia melibatkan isu kemanusiaan dan hak asasi.

“Janganlah kita setakat simpati dan bertempik tetapi juga bersuara menggunakan kedudukan dan tanggungjawab yang diamanahkan.
"Langkah pertama harus diambil iaitu adalah mengiktiraf pelarian Rohingya sebagai pelarian perang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azizah berkata, Malaysia juga kerap menggunakan alasan polisi ‘non-interference’ Asean apabila didesak untuk mengambil pendirian yang lebih serius.

"Alasan polisi ‘non-interference’ Asean juga digunakan apabila Malaysia tidak mahu membincangkan isu ini di Dewan Rakyat.
"Kerajaan Malaysia juga sehingga kini, masih tidak mengiktiraf pelarian Rohingya sebagai pelarian perang.
“Persoalannya, mengapakah Kerajaan Malaysia tidak menggunakan peluang, amanah dan tanggungjawab sebagai Ahli Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendesak usul tergempar mengenai penghapusan etnik Rohingya?," katanya.

Tegasnya, penghapusan etnik Rohingnya yang sedang berlaku di Myanmar ketika ini merupakan sebuah tragedi besar dalam sejarah kemanusiaan.
"Tragedi ini mendapat perhatian seluruh dunia termasuk juga rakyat Malaysia,” katanya. (SH)