Judul : Najib Arah Tangkap Dan Hapuskan Altantuya?
link : Najib Arah Tangkap Dan Hapuskan Altantuya?
Najib Arah Tangkap Dan Hapuskan Altantuya?
BEKAS anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri membuat dakwaan mengejutkan melalui akuan bersumpah (SD) mendakwa menerima arahan daripada Datuk Seri Najib Razak untuk membunuh Altantuya Shaariibuu.
Azilah membuat dakwaan itu ketika sedang menanti hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh Altantuya.
Memetik laporan eksklusif portal berita Malaysiakini, beliau yang kini berada di Penjara Kajang mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib yang ketika kejadian adalah Timbalan Perdana Menteri dan rakan rapatnya, Abdul Razak Baginda.
Dalam pengakuan itu, Azilah mendakwa beliau bersama bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan ‘shoot to kill’ (tembak mati) sebagai anggota pasukan UTK.
Beliau mendakwa terdapat keterangan tidak dikemukakan ketika prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Perincian itu dimasukkan dalam permohonan yang difailkan Azilah kepada Mahkamah Persekutuan bagi menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya, hari ini.
Malah, beliau juga memohon perbicaraan semula bagi mengemukakan bukti penuh berkaitan operasi sulit itu di mahkamah terbuka supaya ‘keadilan dapat ditegakkan’.
Azilah juga mendakwa Najib mengarahkannya ‘tangkap dan hapuskan’ Altantuya, yang menurutnya, diberitahu sebagai perisik asing dan berbahaya kepada keselamatan negara.
“Saya bertanya kepada TPM apa yang dimaksudkan dengan tangkap dan hapuskan perisik asing dan TPM menjawab, ‘Shoot to kill,’ sambil menunjukkan isyarat memotong leher.
“Apabila ditanya berkenaan maksud musnahkan mayat perisik asing itu, Najib menjawab, ‘Lupuskan mayat perisik asing hilangkan kesan’,” katanya memetik akuan SD itu.
Beliau juga mendakwa Najib memintanya berhati-hati dengan wanita perisik asing itu kerana pandai berkata-kata dan penuh tipu helah yang mana salah satunya adalah dia sedang mengandung.
Dalam afidavitnya, Azilah berkata, pada awal 2018, beliau sudah merancang untuk membuat SD itu, tetapi menangguhkannya kerana bimbang disalah guna menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
“Saya menegaskan tujuan saya mengemukakan keterangan dan fakta material di atas adalah bukan hanya kerana saya dianiaya oleh pihak berkepentingan tetapi bertujuan untuk saya menzahirkan perkara sebenar yang terjadi di dalam kes pembunuhan Altantuya.
“Saya juga berharap sahabat saya di UTK secara khususnya dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) secara amnya berhati-hati dalam menjalankan arahan yang diberikan supaya kes penganiayaan seperti yang dihadapi saya ini tidak berulang lagi,” katanya.
Azilah berkata, beliau ada berjumpa Najib di Pekan, Pahang pada 17 Oktober 2006 dan mendakwa Najib mengarahkannya membunuh perisik asing.
Malah, beliau mendakwa perkara itu diulangi Razak Baginda di pejabatnya pada keesokannya.
Berdasarkan SD itu, Azilah mendakwa Razak Baginda juga bertanya sama ada dia ingat wanita yang ditemui beliau dan TPM di sebuah lobi kondominium di London.
“Saya beritahu bahawa saya tak berapa ingat tentang perempuan itu tetapi tugas eskot (mengiring) TPM dan Razak Baginda dari hotel penginapan ke kondominium itu saya ingat. Razak Baginda beritahu perempuan itulah perisik asing yang dimaksudkan,” katanya.
Dakwanya, selepas beliau lihat wanita itu di luar kediaman Razak Baginda di Bukit Damansara kemudiannya, beliau ingat pernah bertemunya bersama Razak dan Najib di kondominium terbabit.
Katanya, beliau diarahkan, dimaklumkan dan percaya arahan untuk operasi sulit itu datang terus daripada TPM dan melalui pegawai beliau ketika itu.
Dalam afidavitnya, beliau menyebut tiada motif atau sebab untuk membunuh Altantuya tetapi Najib dan pegawai polis terbabit, memberitahu operasi itu berkaitan keselamatan negara.
“Selepas operasi sulit itu dilaksanakan, saya diarahkan untuk memberikan kerjasama di dalam siasatan polis dan saya juga diberikan jaminan oleh pegawai polis terbabit bahawa sebarang perkara berbangkit akan dibantu oleh TPM selagi saya tidak babitkan nama baik TPM.
“Pada setiap masa material, saya percaya bahawa saya bertanggungjawab menyimpan segala rahsia operasi sulit itu dan yakin bahawa saya akan dibantu oleh TPM sama ada dengan cara bahawa saya tidak akan dituduh di mahkamah dan/atau bahawa sebarang isu berbangkit di dalam operasi sulit ini akan diselesaikan,” katanya.
Semasa siasatan polis, Azilah berkata, pasukan siasatan menyedari ‘pembabitan’ TPM, tetapi menafikan maklumat itu datang daripadanya. Katanya, beliau mengesyaki maklumat berkenaan diperoleh daripada Sirul.
Antara lain, Azilah dalam afidavitnya mendakwa beliau menerima arahan lisan, tidak secara bertulis daripada TPM dan pegawai polis terbabit.
Dia setuju menjalankan operasi itu atas kepercayaan penuh membabitkan keselamatan negara.
Katanya, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi beliau menelefon pegawai polis terbabit tetapi diminta bersabar.
“Saya beritahu pegawai polis terbabit, ‘Kalau macam ini baik saya bongkar dan beritahu semua’.
“Saya melambatkan pemfailan pengampunan kepada Sultan Selangor agar proses pelaksanaan hukuman gantung dapat ditangguhkan,” katanya.
Bekas polis itu juga memohon maaf atas pembabitannya dalam operasi yang meragut nyawa seorang manusia yang tidak bersalah.
“Saya dengan rendah diri memohon maaf kepada keluarga Altantuya Shaariibuu di atas apa yang terjadi di mana saya tiada pilihan pada waktu itu, melainkan untuk mematuhi arahan yang diberikan kepada saya dalam menjalankan tugas,” katanya lapor Harian Metro
Sobat baru saja selesai membaca :
Najib Arah Tangkap Dan Hapuskan Altantuya?
Cepot rasa sudah cukup pembahasan tentang Najib Arah Tangkap Dan Hapuskan Altantuya? dikesempatan ini, moga saja dapat menambah informasi serta wawasan Sobat semuanya. Wookey, kita ketemu lagi di artikel berikutnya ya?.
Telah selesai dibaca: Najib Arah Tangkap Dan Hapuskan Altantuya? link yang gunakan: https://cepotpost.blogspot.com/2019/12/najib-arah-tangkap-dan-hapuskan.html