Judul : 'Duit 1MDB Lah Bro....'
link : 'Duit 1MDB Lah Bro....'
'Duit 1MDB Lah Bro....'
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak kemungkinan merujuk kepada duit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazarudin, 43 tahun, berkata beliau berpendapat sedemikian berdasarkan satu insiden melibatkan bekas setiausaha sulit Najib, Allahyarham Datuk Seri Azlin Alias sekitar Januari atau Februari 2015, selepas Azlin berjumpa Najib.
Saksi pendakwaan kelapan itu mengingati insiden tersebut sepanjang 10 tahun bekerja di bawah Najib kerana Datuk Seri Azlin yang dikenalinya tidak pernah meninggikan suaranya.
"Salah satu kejadian yang paling diingati saya ketika tularnya isu 1MDB sekitar Januari atau Februari 2015. Ketika itu, saya sedang menunggu Datuk Seri Azlin di dalam pejabat beliau selepas pertemuannya dengan Najib. Sesudah pertemuan itu, saya nampak beliau begitu tertekan dan telah meninggikan suaranya dengan mengatakan "Duit 1MDB lah bro!" kepada saya sambil menghempaskan fail yang ada di tangan beliau ke atas meja.
“Situasi tersebut sangat saya ingati kerana sepanjang saya mengenali beliau, Datuk Seri Azlin merupakan seorang yang sentiasa tenang, sopan dan tidak pernah bertindak sebegitu di hadapan saya. Beliau bukanlah individu yang suka meninggikan suara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada hari ketiga perbicaraan Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.
Beliau berkata, duit yang dimaksudkan Datuk Seri Azlin ketika beliau sedang tertekan itu berkemungkinan besar merujuk kepada kemasukan wang US$680 juta atau RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib dan bukan sahaja terhad kepada isu melibatkan anak tiri Najib yang dikenali sebagai Riza Aziz.
Katanya, beliau percaya reaksi Datuk Seri Azlin tersebut adalah berpunca daripada pendedahan-pendedahan media mengenai 1MDB pada masa itu seperti isu usahasama PetroSaudi (syarikat perkhidmatan minyak dan gas) perbelanjaan mewah oleh ahli perniagaaan Low Taek Jho atau Jho Low menggunakan dana 1MDB, pembelian hartanah mewah dan sumber dana filem oleh Riza dari sumber sama dan kemasukan dana 1MDB ke dalam akaun-akaun yang meragukan.
"Pada awal 2015, berikutan penularan isu 1MDB, PMO (Pejabat Perdana Menteri) melalui Datuk Seri Azlin, perlu banyak menangani isu yang melibatkan Datuk Seri Najib kerana beliau paling mahir dan tahu banyak berhubung 1MDB.
"Penularan isu ini semakin meruncing kerana pendedahan itu disertakan dengan bukti-bukti sokongan seperti gambar, dokumen emel, transaksi bank dan pindahan wang berhubung penyelewengan dana 1MDB melalui usahasama Petrosaudi dengan 1MDB yang telah dipindahkan ke akaun peribadi Jho Low," katanya.
Saksi itu berkata, sepanjang pengalamannya berhubung dengan Jho Low, lelaki itu adalah "master manipulator" (pakar manipulasi) dalam urusannya dengan pegawai-pegawai di pelbagai peringkat dan pangkat sama ada di dalam Malaysia atau di luar negara di mana kebanyakannya adalah di dalam pengetahuan Najib.
"Jho Low melalui nota-nota maklumatnya telah mengarahkan saya dan Datuk Seri Azlin untuk memaklumkan kepada semua orang di PMO dan bagi menjawab tuduhan bahawa ini hanyalah manipulasi pihak pembangkang yang ingin menjatuhkan Najib.
"Ahli perniagaan itu juga ada beberapa kali menghantar emel dan berjumpa dengan saya dan Datuk Seri Azlin untuk membincangkan dan menyediakan senarai jawapan kepada soalan-soalan lazim yang perlu dijawab PMO sekiranya isu-isu 1MDB dipersoalkan mana-mana pihak.
"Selain itu, ada perjumpaan di mana Jho Low telah menyediakan data-data atau maklumat yang meminta saya dan Datuk Seri Azlin sedia maklum berkaitan isu yang timbul seperti isu 1MDB agar kami sentiasa bersedia sekiranya ada orang mempersoalkannya atau sekiranya ada kerjasama-kerjasama berhubung isu-isu ini," katanya.
Menurutnya lagi, beliau agak terkejut baru-baru ini apabila membaca sebuah artikel yang mengatakan Datuk Seri Azlin adalah orang yang telah mengaturkan pertemuan pihak Ambank dengan Najib di kediamannya di Jalan Langgak Duta kerana ia tidak menggambarkan keseluruhan kejadian yang berlaku dengan tepat.
"Setiap pertemuan sulit atau perjumpaan-perjumpaan tidak formal yang berlaku di rumah Datuk Seri Najib di Jalan Langgak Duta memerlukan kelulusan Najib sendiri kerana ia melibatkan masa, jadual dan akses ke kediaman peribadinya.
"Adalah mustahil dan tidak logik untuk beliau (Datuk Seri Azlin) memandai-mandai mengaturkan pertemuan antara Datuk Seri Najib dengan pihak Ambank di kediaman peribadinya atas inisiatif sendiri tanpa terlebih dahulu mendapatkan persetujuan bekas perdana menteri itu.
"Saya percaya Datuk Seri Azlin telah merujuk perkara ini kepada Datuk Seri Najib bagi mendapatkan persetujuan beliau," tegasnya.
Katanya, Datuk Seri Azlin meninggal dunia pada 4 April 2015, tidak lama selepas isu-isu penyelewengan dana 1MDB tular di media massa.
Najib, 66 tahun, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama. Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok lapor Astro Awani
Sobat baru saja selesai membaca :
'Duit 1MDB Lah Bro....'
Cepot rasa sudah cukup pembahasan tentang 'Duit 1MDB Lah Bro....' dikesempatan ini, moga saja dapat menambah informasi serta wawasan Sobat semuanya. Wookey, kita ketemu lagi di artikel berikutnya ya?.
Telah selesai dibaca: 'Duit 1MDB Lah Bro....' link yang gunakan: https://cepotpost.blogspot.com/2019/09/duit-1mdb-lah-bro.html