Judul : M'sia Baru: Masa Depan &Harapan Kepada Pembangkang.
link : M'sia Baru: Masa Depan &Harapan Kepada Pembangkang.
M'sia Baru: Masa Depan &Harapan Kepada Pembangkang.
MUKADIMAH
PAS tidak ada pilihan lain. Ia mesti berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif dengan lebih berkesan dalam 'Malaysia Baru'. Walaupun berperanan sebagai pembangkang pasca PRU14, adalah sangat kurang 'trending' di dalam media-media sosial, tidak lagi seperti sebelum ini. Namun ia adalah sangat penting dalam struktur sistem demokrasi.
Kita dapati ruang 'check and balance' kepada Kerajaan 'Malaysia Baru' tidak sepopular pada zaman Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu. Bahkan pada sesetengah pihak, ia tidak lagi perlu. Kerana Kerajaan baru ini adalah manifestasi yang tepat kepada Kerajaan yang bersih, cekap dan amanah. Tidak perlu lagi kritikan atau bangkangan. Hanya perlukan sokongan, kesabaran dan pemahaman daripada rakyat.
Di antara menyokong atau membangkang secara langsung begitu, ramai yang cenderung untuk menjadi pihak ketiga yang masih di peringkat 'tunggu dan lihat' serta 'memberi masa dan peluang' kepada Kerajaan baru di peringkat Persekutuan.
Pembangkang di Malaysia Baru
Majoriti pihak yang lantang mengkritik Kerajaan sebelum 9 Mei baru-baru ini telah pun bersekutu membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru. Mereka terdiri daripada anggota parti politik dalam komponen PH, tokoh-tokoh NGO yang mendukung PH, tokoh-tokoh dan nama-nama besar dalam pelbagai bidang ekonomi, sosial, bisnes, perundangan, pendidikan, agama dan aktivis masyarakat.
Pada ketika ini, mereka telah pun menjadi sebahagian daripada ahli Kabinet, ahli Parlimen penyokong Kerajaan, pegawai-pegawai lantikan politik di Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan Kerajaan, kepimpinan baru dalam syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), anggota jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh Kerajaan dan paling kurang pun telah menjadi jentera siber pendukung tegar Kerajaan baru.
Umno pula pada ketika ini masih dalam period cuba belajar untuk menjadi pembangkang. Antaranya, dengan menuntut supaya layanan yang adil diberikan kepada mereka oleh pihak Kerajaan. Sesuatu yang tidak diberikan kepada 'pembangkang' pada saat Umno berada di puncak kuasa.
Sebetulnya Umno sedang tidak ketahuan arah tujunya. Rakyat masih marah kepada mereka. Masih marah kepada legasi DS Najib dan 1MDB. Masih ingat zaman dibelenggu GST. Masih ragu dengan kepimpinan baru mereka. Umno juga sedang kehilangan ramai pemimpinnya, wakil-wakil rakyatnya dan ahli-ahlinya. Malaysia Baru ketandusan 'pembangkang' dalam erti kata yang sebenarnya. Yang tinggal hanyalah PAS.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH)
Kerajaan PH bukanlah kerajaan BN yang dahulu. Ia bermula daripada halaman kosong yang putih bersih. Ia tidak ada 'beban silam', tidak seperti BN. Ia hanya ada sederet janji 100 harinya. Menyelamatkan negara daripada kleptokrasi, penyalahgunaan kuasa, kesilapan pengurusan ekonomi, institusi-institusi demokrasi yang gagal berfungsi dan kerakusan DS Najib.
Ia bermula dengan baik. Menjanjikan Kerajaan yang adil untuk semua, tidak membalas dendam, mengalu-alukan pelaburan dan komuniti perniagaan, menghormati hubungan dengan Kerajaan-kerajaan Negeri, menyalurkan royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar minyak, memberikan juga sebahagian peruntukan Kerajaan Pusat kepada wakil-wakil rakyat bukan PH, memberikan kebebasan media yang tidak diberikan oleh BN dan lain-lain.
Pada peringkat ini, semua pihak teruja dan menaruh harapan yang tinggi kepada YAB Tun Mahathir untuk memacu Malaysia Baru ke tahap yang lebih tinggi.
Perdebatan era baru
Namun perdebatan tentang langkah, dasar dan Manifesto Kerajaan PH mula timbul di kalangan netizen, ahli politik, ahli agama, ahli perundangan, komuniti perniagaan dan kedai-kedai kopi tidak lama selepas itu. Untuk lebih tepat, kira-kira sebulan selepas PH membentuk Kerajaan.
Perdebatan bersifat sama ada menyokong atau tidak menyokong beberapa isu-isu tertentu. Perdebatan agak hangat, tetapi sangat berbeza jika dibandingkan sebelum PRU ke-14. Di mana penyokong Kerajaan PH yang dahulunya pembangkang tegar telah bertukar menjadi pendukung tegar Kerajaan. Tiada lagi perbincangan rasional, yang penting mesti menjadi pendukung Kerajaan.
Pihak yang mengkritik Kerajaan akan dituduh sebagai saki-baki machaiUmno yang perlu dihapuskan. PAS pula menjadi 'punching beg' baru untuk mereka. Semuanya salah PAS. Kata-kata kesat, menghina dan mengecam digunakan sebagai hujah untuk menjawab pelbagai kritikan terhadap Kerajaan PH.
Penggunaan berita fitnah atau berita yang sengaja di'spin' bagi memburukkan pembangkang era Malaysia Baru telah membangun dengan begitu pesat sekali. Tajuk-tajuk utama portal berita juga turut di'spin' agar menjadi lebih sensasi dan lebih berperisa untuk menjatuhkan kredibiliti pembangkang.
Isu-isu utama yang diperdebatkan
Kerajaan PH bermula dengan pelantikan PM dan diikuti dengan pelantikan 4 Menteri kanan beberapa ketika setelah itu. Beberapa dasar baru Kerajaan telah dibuat dan beberapa dasar lama telah dihapuskan.
Beberapa isu yang mendapat reaksi berbeza rakyat Malaysia adalah seperti berikut:
- Pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan. Pada awalnya, perdebatan mengenai pelantikan bukan Melayu Islam sebagai Menteri Kewangan turut didebatkan. Perdebatan itu hampir ditamatkan dengan gesaan mengutamakan prestasi dan bukannya keturunan dan agama. Namun akhir-akhir ini, perdebatan adalah mengenai prestasi Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan yang sangat tidak menyerlah, bahkan menjadi punca kepada kehilangan pelaburan di Bursa Malaysia dengan nilai kerugian berbillion-billion Ringgit.
- Propaganda Hutang Negara 1 trillion Ringgit dan Tabung Harapan. Dibahaskan oleh komuniti ekonomi, komuniti bisnes dan ahli akademik tanpa kepentingan politik.
- Kegagalan menunaikan sebahagian daripada janji-janji utama 100 hari PH dalam mengurang beban sara hidup rakyat seperti penghapusan tol, penurunan harga petrol dan pengecualian bayaran pinjaman PTPTN.
- Pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara. Perdebatan seputar Peguam Negara bukan Islam, tidak mampu Berbahasa Melayu dengan baik dan kurang berkemahiran dalam pendakwaan jenayah.
- Menolak gesaan SPB Yang DiPertuan Agong agar melantik Peguam Negara daripada kalangan orang Islam. Bahkan, DS Anwar Ibrahim sendiri telah diterima menghadap dan memberikan jaminan kepada SPB Yang DiPertuan Agong bahawa Tommy Thomas adalah calon terbaik untuk menjadi Peguam Negara, tanpa perlu bimbang terhadap penghakisan hak orang Melayu dan agama Islam.
- Pemberian lesen judi sukan yang pertama di Malaysia kepada Ascort Sports yang dimiliki oleh TS Vincent Tan. Perdebatan tentang judi halal dan kemunculan kembali kroni lama.
- TS Vincent Tan membeli saham T7 Global yang mendapat kontrak ECRL, kemudian menjualnya kembali dengan untung lumayan. Perdebatan tentang pendedahan maklumat ECRL yang dibatalkan, namun tidak jadi dibatalkan tidak lama setelah itu dan akan diteruskan. Semalam projek diumumkan akan digantung pula serta merta oleh Kementerian Kewangan.
- Pendakwaan DS Najib yang penuh 'hanky panky' 'tidak kemas'. Perdebatan tentang kertas pertuduhan, pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan, perkaitan dengan bukti-bukti yang dirampas dan lain-lain. Termasuk Peguam Negara yang tidak boleh Berbahasa Melayu.
- Dasar pentadbiran agama Islam dalam menangani cabaran kefahaman Islam Liberal, Syiah, Kristianisasi dan lain-lain. Di mana beberapa kumpulan yang difatwakan sebagai sesat menuntut hak untuk mengamalkan dan menyebarkan ajaran mereka secara terbuka. Lebih malang lagi, ada yang sengaja membuat tarian seksi berlatar-belakangkan masjid hanya didenda RM 25 dan masih ada pihak yang cuba menjadikannya sebagai trend Malaysia Baru.
- Prestasi Menteri-menteri yang baru dilantik. Ada yang membuat kenyataan rasmi di dalam Bahasa Mandarin dan Tamil. Ada yang mengatakan harga barang telah turun hingga 30 peratus pasca GST. Ada yang membuat ketetapan hari ini dan menjadikannya sebagai cadangan sahaja pada besoknya. Ada jabatan dan projek pada zaman pentadbiran DS Najib yang hanya ditukarkan namanya. Ada yang meminta penjawat awam yang tidak boleh menerima dasar Kerajaan agar berhenti kerja dan pelbagai ragam lagi.
- Isu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi dalam urusan berkaitan Kerajaan. Pendukung PH jelas sekali tidak merasakan ini sebagai satu isu. "Isu bahasa tak sepenting kandungannya", kata mereka.
Oleh itu, PAS perlu memposisikan dirinya agar menjadi medium utama membawa suara rakyat yang terpinggir. Apatah lagi yang terpinggir ialah golongan majoriti.
Ketidakpuasan hati kepada dasar-dasar Kerajaan PH akan mendorong lebih ramai tokoh-tokoh masyarakat dan pemimpin parti politik yang tersisih untuk mendekati PAS. Untuk itu PAS mestilah mempunyai suatu mekanisme yang lebih teratur dalam menerima kemasukan besar-besaran golongan ini.
Terutamanya daripada golongan yang masih di peringkat 'tunggu dan lihat' serta 'memberi masa dan peluang' kepada Kerajaan Baru.
Beberapa langkah segera
Dasar 'engagement' perlu terus diperkasakan. Mesti ada peranan dan tugas yang khusus untuk tokoh-tokoh baru yang diterima masuk. Tidak wajar untuk hanya memastikan mereka menyertai PAS, tanpa apa-apa peranan yang signifikan dalam membantu mengukuhkan kehadiran parti di dalam masyarakat. Jika begitu, mereka tidak akan bertahan lama. Atau keberadaan mereka di dalam parti telah tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Mesti ada usaha untuk memahamkan mereka tentang visi dan misi perjuangan PAS secara serius. Dalam masa yang sama, berilah peluang untuk mereka mengenali budaya dan jentera PAS secara memberikan pengalaman praktikal, iaitu dengan sama-sama turun membuat kerja kemasyarakatan bersama jentera PAS di peringkat akar umbi.
Memujuk ahli PAS di peringkat akar umbi untuk bekerjasama dengan mereka juga memerlukan usaha yang tidak sedikit. Pengalaman bertembung dengan golongan yang hanya mementingkan keuntungan politik semata-mata, menjadikan ahli PAS di peringkat akar umbi lebih bersifat defensif dalam menerima kemasukan mengejut tokoh-tokoh baru ke dalam parti. Ini juga perlu ditangani.
Mungkin satu jawatankuasa khas boleh diwujudkan untuk menangani fenomena baru ini. Fenomena ini adalah baik kepada PAS tetapi perlulah ditangani dengan bijaksana.
Mungkin jawatankuasa khas di bawah salah seorang Naib Presiden atau terus di bawah Timbalan Presiden. Lajnah Politik akan mendapati jawatankuasa ini sangat membantu meningkatkan pengaruh parti dalam masyarakat yang lebih besar. Terutamanya segmen masyarakat yang agak berjauhan dengan PAS.
Penutup
PAS memang sangat berpengalaman sebagai pembangkang dan juga sebagai Kerajaan Negeri. Ini adalah satu fakta.
Namun, kredibiliti PAS sengaja dipertikaikan oleh musuh-musuh politiknya agar PAS dan kepimpinannya hanya dilihat sebagai parti agama yang ekstrem, memakai jubah dan serban tetapi tidak pandai berpolitik dan mentadbir Negara Malaysia yang berbilang kaum dan berdaya maju.
Oleh itu PAS perlu terus berusaha keras untuk mengukuhkan kehadiran jenamanya di dalam politik negara. Tumbangnya BN, memberikan peluang yang sangat signifikan kepada PAS untuk menjadi parti politik utama umat Islam di negara kita. Peluang ini perlu segera direbut dengan bijak. Jika tidak, PAS setakat mengekalkan pengaruh sedia ada.
Akhir sekali, PAS mestilah menjadi harapan kepada rakyat Malaysia yang merasa tersisih. Janganlah sampai rakyat tetap menaruh harapan kepada Umno untuk membawa suara terpinggir mereka. Jika begitu, pastilah harapan mereka akan lunyai di tangan PH.
ZAKARIA ISMAIL
AJK PAS Kawasan Marang
Jumaat, 6 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 6/7/2018
Sobat baru saja selesai membaca :
M'sia Baru: Masa Depan &Harapan Kepada Pembangkang.
Cepot rasa sudah cukup pembahasan tentang M'sia Baru: Masa Depan &Harapan Kepada Pembangkang. dikesempatan ini, moga saja dapat menambah informasi serta wawasan Sobat semuanya. Wookey, kita ketemu lagi di artikel berikutnya ya?.
Telah selesai dibaca: M'sia Baru: Masa Depan &Harapan Kepada Pembangkang. link yang gunakan: https://cepotpost.blogspot.com/2018/07/msia-baru-masa-depan-kepada-pembangkang.html